Sunday 26 August 2012

Petikan Akhbar Utusan

ARKIB : 23/07/2007

Pendidik mesti bijak kawal emosi

 

ISU pendidikan seringkali menarik perhatian ramai apatah lagi apabila ia melibatkan persoalan nilai, moral dan salah laku di kalangan warganya. Justeru apabila sahaja berita mengenai seorang warden asrama yang dikatakan mengarahkan ramai pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan berendam di dalam kolam ikan kerana kesalahan seorang daripada mereka membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan, ia menjadi isu besar.
Dasar Kementerian Pelajaran tentu sekali menolak sebarang bentuk deraan tanpa mengira siapa. Dasar ini juga menjelaskan tiada seorang pun warga pendidik yang boleh melakukan sesuka hati mereka di sekolah. Pihak Kementerian juga sudah mempunyai garis panduan berhubung tindakan disiplin.
Masalah disiplin sememangnya boleh menggugat emosi guru. Jika tidak ditangani dengan baik, mudah saja guru cenderung untuk bertindak di luar emosinya.
Perguruan adalah profesion membantu yang amat terdedah dengan tekanan. Tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan.
Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran.
Perkara ini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang seterusnya akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikannya.
Tekanan yang dihadapi oleh pihak guru disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktor yang paling ketara ialah ketidakupayaan guru untuk berdaya tindak ke atas isu-isu pendidikan yang berlaku dalam dunia yang pesat berubah. Ini kerana gelombang pembangunan pesat yang berlaku di negara ini dan juga seluruh dunia menyaksikan cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh guru semakin meningkat.
Banyak kajian menunjukkan isu-isu pendidikan seperti masalah disiplin pelajar yang berleluasa, bebanan tugasan, masalah kekurangan guru, kekurangan bilik darjah, konflik peranan, kekaburan peranan, ketiadaan sistem sokongan sosial yang kuat dan rangkaian masalah yang lain yang tidak dapat diselesaikan dengan memuaskan boleh menggugat kesejahteraan guru.
Sekiranya isu-isu tersebut tidak diatasi segera ia boleh menyebabkan guru merasa dan memohon untuk meletak jawatan atau memohon untuk bersara awal.
Warga pendidik memang perlu bijak menangani isu pendidikan agar dapat mengawal emosi. Oleh itu, satu aspek penting yang perlu diberi perhatian yang berkaitan tekanan ialah aspek strategi berdaya tindak dan bagaimana mengawal emosi.
Mengawal emosi dan berdaya tindak terhadap tekanan kerja di kalangan guru kini menjadi semakin penting kerana kegagalan guru untuk berdaya tindak boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru.
Tekanan mempunyai hubung kait dengan sokongan sosial dan juga bantuan yang diterima. Sokongan sosial yang kuat boleh mengurangkan tahap tekanan. Kewujudan sistem sokongan yang kuat membolehkan guru-guru untuk berkongsi permasalahan antara satu sama lain di mana ia boleh menyumbang kepada cadangan yang membantu. (Woods & Weasmer, 2004).
Individu akan berupaya untuk berdaya tindak ke atas tekanan secara lebih efektif jika beliau mempunyai perhubungan sosial yang lebih berkesan. Kajian dalam bidang tekanan menunjukkan sokongan sosial sangat efektif dalam meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental individu.
Mempunyai kaedah berdaya tindak dan mempunyai sokongan sosial adalah amat penting dan ini selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran sekarang iaitu mendidik guru-guru baru agar dapat mengawal emosi mereka supaya kejadian mendera pelajar dapat dielakkan.
Berbalik dengan isu merendam pelajar dalam kolam ikan, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap individu terlibat.
Sememangnya gelombang pembangunan pesat yang berlaku di negara ini dan juga seluruh dunia menyaksikan cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh guru semakin meningkat. Oleh itu, warga pendidik perlu mempunyai mekanisme dalam berdaya tindak ke atas isu-isu pendidikan yang berlaku.
Jika ini gagal dilakukan, warga pendidik mungkin menghadapi masalah ketidakupayaan mengawal emosi. Jika emosi tidak dapat dikawal dan diri merasa tekanan, kecenderungan untuk melakukan perkara yang tidak diingini boleh sahaja berlaku.

– DR. SAPORA SIPON, Pengarah Perhubungan Korporat Universiti Sains Islam Malaysia.

Dipetik daripada: 
 http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

No comments:

Post a Comment